KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) meminta orang ramai
supaya berhati-hati terhadap satu aktiviti penipuan dengan menggunakan
nama organisasi tersebut.
Pos Malaysia melalui satu kenyataan media memberitahu, pihaknya
menerima beberapa aduan pelanggan mendakwa dihubungi pihak tertentu yang
menyamar sebagai kakitangan Pos Malaysia.
“Individu tidak bertanggungjawab ini meminta pelanggan memberi
maklumat peribadi mereka kononnya untuk menguruskan penghantaran dokumen
penting termasuk dokumen yang dihantar oleh Mahkamah Tinggi,” kata
kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Pos Malaysia tidak pernah meminta maklumat
seperti itu daripada pelanggan mereka untuk urusan surat daripada pihak
mahkamah malah tidak pernah diberi kuasa untuk berbuat demikian.
Justeru, kata kenyataan itu, orang ramai yang menerima panggilan
seperti itu diminta supaya berhati-hati dan menghubungi Khidmat
Pelanggan Pos Malaysia di talian 1-300-300-300 untuk membuat semakan
jika perlu.
“Mereka yang telah menjadi mangsa kepada kegiatan ini diminta melaporkannya kepada pihak polis,” tambah kenyataan itu.
0 comments:
Post a Comment